EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 6 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dewan Negeri Selangor lulus RUU Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang 2024

SHAH ALAM, 6 MAC: Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) 2024.

RUU itu diluluskan Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San selepas dibacakan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim sebanyak tiga kali.

Menurut Suee Lim, pembentangan RUU itu bagi membolehkan penukaran gelaran selain perkara lain yang berbangkit daripada pengurniaan taraf perbandaran kepada bandar raya berkuat kuasa 23 November lalu.

“RUU ini bertujuan menukar gelaran perbandaran kepada bandar raya mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengalungkan kalungan rasmi Datuk Bandar kepada Datin Paduka Noraini Roslan sempena Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bagi menaikkan taraf Majlis Perbandaran Klang kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang, tiada keperluan untuk meminda perundangan yang sedang digunakan. Bagaimanapun, pihak berkuasa negeri perlu mengadakan RUU bagi membuat peruntukan untuk menukar gelaran perbandaran kepada bandar raya.

“Oleh itu, RUU ini dibuat dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa, kewajipan dan keistimewaan, pemegang jawatan sewaktu taraf perbandaran dinaikkan kepada bandar raya,” katanya.

Februari lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Klang berstatus perbandaran kepada bandar raya.

Baginda berkenan melafazkan pengisytiharan dan mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai datuk bandar pihak berkuasa tempatan itu berkuat kuasa 23 November lalu.


Pengarang :