DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (depan, tengah) berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff dan sekretariat MKI di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 6 Mac 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan pertahan syiar Islam sepanjang dua tahun menjadi pengerusi MKI

SHAH ALAM, 7 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sentiasa mengangkat dan mempertahan syiar Islam menerusi muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Selaku pengerusi MKI, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyemak minit mesyuarat dan memastikan jawatankuasa khas berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri menjalankan tugas.

“Pada mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa itu, Baginda menzahirkan penghargaan dan sukacita terhadap kerjasama ahli dan sekretariat sepanjang memegang jawatan sebagai pengerusi MKI,” katanya menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Menurut kenyataan itu, Sultan Selangor mula berkhidmat sebagai pengerusi MKI pada pada 10 Mac 2022 sehingga 9 Mac 2024 dan tidak berhasrat menyambung tugas berkenaan.

Baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu dalam kalangan raja pemerintah supaya fungsi dan aspirasi MKI terus dilaksanakan dengan lebih baik.

“Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga atas komitmen semua ahli, wakil negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku sekretariat MKI.

“(Mereka) telah melaksanakan tugas dengan begitu efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dilaksanakan dengan sempurna,” jelas kenyataan itu lagi.

Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan MKI 2022 menetapkan pengerusinya hendaklah dipilih dalam kalangan raja pemerintah dengan tempoh jawatan selama dua tahun dan boleh diperbaharui.

Semalam, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Ketua Pengarah Jakim merangkap merangkap Setiausaha MKI Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff di Istana Bukit Kayangan di sini.

 


Pengarang :