AGENDANASIONAL

EXCO: Sasaran pelaburan RM50 bilion realistik, ikut prestasi ekonomi negeri

SHAH ALAM, 7 MAC: Sasaran nilai pelaburan berjumlah RM50 bilion disifatkan wajar dan realistik, sesuai dengan keadaan semasa mengikut perkembangan ekonomi negeri.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata unjuran itu tidak terhenti dan akan diteliti sebaiknya supaya pentadbiran negeri dapat menjalankan kerja dengan baik dan efektif.

“Kerajaan Negeri perlu meletakkan sasaran realistik seperti dilakukan negara jiran iaitu Singapura termasuk pelaburan luar antaranya China. Ini tidak bermakna sasaran terhenti setakat RM50 bilion.

“Buat masa ini baru hendak mencapai suku pertama 2024 dan jika perkembangan atau pertumbuhan ekonomi meningkat, kita akan ubah berbanding yang ditetapkan tahun ini,” katanya hari ini.

Menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor, industri tumpuan bagi mencapai sasaran itu meliputi sains hayat, makanan dan minuman, elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

Sze Han menambah penumpuan bagi sektor aeroangkasa dan rantaian bekalannya juga terus dipergiat membabitkan kerjasama lebih kukuh bersama pemegang taruh dan pemain industri.

“Bagi sektor perkhidmatan pula, (sasaran) melibatkan industri perkhidmatan logistik dan pelaburan digital, pusat data serta teknologi kandungan kreatif,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan nilai pelaburan 2024 disasar sehingga RM50 bilion selepas melihat perkembangan ekonomi dan pembukaan beberapa sektor.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sasaran itu meningkat RM5 bilion berbanding nilai perolehan yang diterima sepanjang 2023 berjumlah RM45 bilion.


Pengarang :