Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 7 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DNS lulus pindaan kadar elaun tetap Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri

SHAH ALAM, 7 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan rang undang-undang enakmen pindaan kadar kenaikan elaun tetap dan temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Rang Undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023 itu diluluskan Speaker Lau Weng San.

Membawa pindaan RUU bagi Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2023, Dato’ Menteri Besar memaklumkan tujuan ia dibentang untuk meminda jumlah elaun tetap dan temu duga yang dinaikkan kadarnya berkuat kuasa Jun tahun lalu.

“Menurut Seksyen 3 Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, saraan ahli-ahlinya terdiri daripada gaji, elaun dan keistimewaan ditetapkan dan tidak boleh diubah.

“Semakan semula kadar elaun bagi ahli-ahli ini adalah wajar kerana kali terakhir dibuat pada 2013, melebihi 10 ke 11 tahun yang lalu. Justeru, pindaan ini diharap menjadi pemangkin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan cemerlang.

“Kajian perbandingan juga dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan negeri lain daripada segi tugas, bebanan kerja, infrastruktur dan struktur organisasi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Tambah Amirudin, kadar elaun yang dicadang dipinda ialah pengerusi daripada RM3,000 kepada RM4,000, timbalan pengerusi RM2,300 kepada RM3,000 dan ahli-ahli suruhanjaya RM2,000 kepada RM2,500.

Turut dimasukkan dalam pindaan enakmen ini elaun temu duga daripada RM50 kepada RM100.

Terdahulu, dewan turut meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024. RUU dibacakan EXCO Agama Dr Fahmi Ngah selepas dibahas beberapa wakil rakyat antaranya Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim.

Semalam, DNS meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Majlis Bandaraya Diraja Klang 2024 yang dibacakan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.

Sementara itu, Weng San dalam sidang akhbar memaklumkan pihaknya berpuas hati prestasi dan komitmen ditunjukkan semua wakil rakyat termasuk pembangkang pada sidang dewan kali ini.

“Semua wakil rakyat berbahas dan bertanya dengan agak matang biar pun ada sesekali perbahasan agak panas ia masih terkawal. Malah, dewan juga berlaku adil dan memberikan masa secukupnya kepada wakil rakyat berbahas.

“Selain itu, seramai 43 wakil rakyat ambil bahagian dalam perbahasan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” katanya.


Pengarang :