EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu (tengah), , EXCO Perumahan Borhan Aman Shah (kiri) dan wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim pada sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 7 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Seramai 36 keluarga di Kampung Bunga Raya terima tawaran Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 7 MAC: Seramai 36 keluarga di rumah panjang Kampung Bunga Raya akan menerima surat tawaran Rumah Selangorku esok, kata EXCO sumber manusia.

V Papparaidu berkata tawaran kediaman di Alam Perdana, Puncak Alam bernilai RM42,000 antara usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu penempatan penduduk kawasan itu yang berlarutan sejak 30 tahun lepas.

“Kita mengadakan perbincangan beberapa siri dengan penduduk. Seramai 36 keluarga telah memohon Rumah Selangorku menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Permohonan diluluskan berdasarkan beberapa kriteria seperti tidak muflis, pinjaman diluluskan.

“Bagi keluarga yang kematian ibu bapa, mereka boleh diwakili anak-anak untuk memohonnya. Oleh itu, keluarga atau waris yang belum membuat permohonan segera tampil bagi memudahkan urusan termasuk surat tawaran.

“Untuk pemohon yang telah lulus, surat tawaran Rumah Selangorku akan diserahkan kepada penerima menerusi wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri Selangor hari ini.

Rumah Panjang Kampung Bunga Raya merupakan penempatan sementara kepada lebih 90 keluarga yang dipindahkan pada 1993 susulan projek perumahan Dahlia di Seksyen U5.

Kerajaan Negeri ketika itu meminta penduduk berpindah ke rumah panjang sebagai penempatan sementara yang merupakan tanah milik kerajaan negeri sebelum berjanji memberi penempatan baru.

Namun, baru-baru ini, penduduk terkejut kawasan rumah panjang itu telah dijual kepada syarikat pemaju swasta. Syarikat kemudiannya mengarahkan penduduk supaya berpindah tanpa memberikan sebarang penyelesaian alternatif.

Dalam pada itu, EXCO Perumahan Borhan Aman Shah memaklumkan tawaran Rumah Selangorku antara usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan setiap isu rakyat khususnya Kampung Bunga Raya.

“Rumah ini telah siap dan boleh diduduki apabila selesai isu kewangan. Kerajaan Negeri tidak akan lepas tangan apabila ada isu melibatkan rakyat, kita akan cuba selesaikan secepat mungkin.

“Kerajaan Negeri faham penduduk terbabit akan jumpa pelbagai pihak termasuk wakil rakyat pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi akhirnya kerajaan yang akan bantu,” katanya.


Pengarang :