Persembahan tarian memeriahkan acara perbarisan dan perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 bertemakan “Malaysia MADANI:Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Kenal pasti, rai kepelbagaian budaya menjelang sidang Asean 2025

SHAH ALAM, 7 MAC: Masyarakat berbilang kaum digalak mengenal pasti dan meraikan kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini sebagai persediaan menjadi tuan rumah Asean tahun depan.

Ahli parlimen Gombak berkata Malaysia tidak mampu menjadi pengerusi yang baik jika rakyatnya mengamalkan budaya tertutup dan tidak bersedia merebut peluang.

“Kepentingan Asean bukan hanya dalam lingkungan negara Asean tetapi kepada rakan-rakan dialognya seperti Australia, Amerika Syarikat (AS), China dan Korea.

“Keprihatinan atau kepekaan rakyat terhadap Asean harus ditingkatkan,” kata Dato Seri Amirudin Shari ketika Perbahasan Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Tambah beliau, ada kajian menunjukkan rakyat negara ini kurang arif tentang Asean sedangkan Malaysia antara pasukan pertama yang membina gabungan tersebut.

“Bina konsep kebersamaan dan kukuhkan istilah masyarakat Asean yang mempunyai kepelbagaian budaya tapi mampu menerima dan bertolak ansur serta hidup aman dan damai.

“Ketika ini AS, Eropah, Timur Tengah berdepan krisis tertentu sedangkan Asean berada di kawasan yang aman, stabil dan kurang konflik,” katanya lagi.

Malaysia akan mempengerusikan Asean 2025 yang mencakupi antaranya Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau Asean dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus.


Pengarang :