Aksi beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika perlawanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada 15 Disember 2023. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Aaron- Wooi Yik wakil tunggal negara mara ke suku akhir Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia yang mara ke suku akhir Terbuka Perancis 2024 awal pagi tadi.

Perlawanan di Arena Porte de la Chapelle itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik, yang tampil sebagai pilihan kelima kejohanan, berada di kelas tersendiri selepas menewaskan cabaran beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen, 21-16, 21-18, pada pusingan kedua.

Pasangan di kedudukan kelima terbaik dunia itu dijangka berdepan laluan sukar untuk ke separuh akhir apabila dijadual bertemu juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, petang ini.

Sementara itu, menerima nasib berbeza ialah satu lagi beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terkandas di pusingan kedua ketika menentang pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 13-21, 12-21.

– BERNAMA


Pengarang :