AGENDAJENAYAH

Lebih RM7 juta dadah dirampas dalam tempoh tiga bulan di Sarawak

KUCHING, 8 MAC: Polis melakukan 2,312 tangkapan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.62 juta di Sarawak dari Januari hingga 6 Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga menyita harta disyaki hasil pendapatan pengedaran dadah bernilai RM557,294.

“Polis terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Kami berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Mancha berkata dari 4 hingga 6 Mac lalu, polis mengadakan Op Tapis di seluruh negeri ini dengan 342 pemeriksaan di kawasan ladang, jeti nelayan, kampung, perumahan serta rumah kedai telah dijalankan.

“Sepanjang operasi itu juga 282 orang berusia antara 17 hingga 56 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

“Selain itu, 656.63 gram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM42,911 dirampas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :