Lembaga Zakat Selangor memperkenalkan tiga kupon fitrah berwarna mengikut kadar bayaran untuk pembayar zakat fitrah mulai 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS: Zakat fitrah kekal RM7, lantik 2,778 penolong amil

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 8 MAC: Kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7, RM14 dan RM21 seorang tahun ini, menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS memaklumkan kadar itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di negeri ini.

“Kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras super special tempatan lima peratus dan ia adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“Manakala kadar RM14 adalah bagi pengguna beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi.

“Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang memakan beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” katanya dalam kenyataan.

LZS menambah 2,778 penolong amil fitrah (PAF) dilantik di seluruh negeri bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat tersebut.

“Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan LZS.

“Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat melalui 17 penolong amil institut pengajian tinggi (IPT) dan 96 Maahad Tahfiz serta sekolah agama swasta Selangor.

“Selain itu, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat,” katanya.

Bersempena Ramadan ini, LZS menyediakan Zakat On Wheels di lokasi strategik seperti masjid, bazaar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan agensi tersebut.

Tambahnya, sebanyak 18 cawangan LZS akan dibuka selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.

“Ini bagi memudahkan masyarakat untuk menunaikan zakat harta dan fitrah.

“Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang,” katanya lagi.


Pengarang :