Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bersama kakitangan bersara ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2023 di Hotel Summit USJ, Subang Jaya pada 8 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ kutip hasil RM322.67 juta tahun lalu, tekad tingkat kualiti perkhidmatan

SUBANG JAYA, 9 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperoleh kutipan hasil sebanyak RM322.67 juta pada tahun lalu.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata prestasi itu membuktikan ekonomi pihak berkuasa tempatan itu terus berkembang pesat dan mencatat pertumbuhan yang sangat memberangsangkan.

“Secara keseluruhannya MBSJ telah berjaya mengutip hasil keseluruhan sebanyak 102 peratus. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk ahli majlis, ketua jabatan dan warga kerja MBSJ.

“Semua pihak bersama-sama mempergiatkan usaha dan bekerja dengan kreatif, inovatif, tegas, pantas dan berhemah agar perkhidmatan MBSJ dapat dirasai semua penduduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 di Summit Hotel di sini, malam tadi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berucap ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2023 di Hotel Summit USJ, Subang Jaya pada 8 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Fauzi berkata MBSJ turut berjaya merangkul 13 anugerah tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu antaranya anugerah emas bagi Anugerah International Convention on QC Cycles (ICQCC) Beijing 2023 dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023 kategori emas.

“Dengan pencapaian ini sudah pasti ia perlu seiring dengan perkhidmatan yang disampaikan kepada penduduk. Itu perkara paling asas yang harus kita pastikan.

“Ledakan teknologi maklumat masa kini menjadi cabaran buat semua kakitangan terutama dalam menyelesaikan aduan penduduk dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kita perlu mendahului aduan. Cari isu dan penyelesaian (isu) sebelum aduan dibuat penduduk. Keluar dari pemikiran dan cara kerja yang lama supaya dapat sentiasa memenuhi tuntutan masyarakat,” katanya.

Terdahulu Mohd Fauzi menyampaikan APC kepada 116 kakitangan MBSJ yang menerima APC bagi tahun 2023.


Pengarang :