– Ahli KEADILAN mendengar ucapan Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin shari sempena Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang Jaya pada 9 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jelajah penerangan KEADILAN bermula esok, langkah awal depani PRU

SHAH ALAM, 9 MAC: Jelajah penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berlangsung esok sebagai persediaan mendepani pilihan raya umum (PRU) termasuk pilihan raya Sabah dan Sarawak.

Naib presiden KEADILAN berkata Selangor menjadi negeri pertama sebelum sesi diteruskan ke negeri lain selepas sambutan Aidilfitri bertujuan memantapkan lagi komunikasi dan aspek penjelasan isu kepada rakyat.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari jelajah akan melibatkan ketua cabang selain ahli jawatankuasa demi memastikan mereka terlatih dan fasih mengenai isu semasa sekali gus mampu menjawab serangan pembangkang.

“Saya diminta untuk melihat bersama-sama dan akan bincang dengan Fahmi Fadzil (ketua penerangan) terutama isu semasa. Kita jelajah setiap negeri dan terangkan isu kepada akar umbi.

“Jangan harap menteri atau kepimpinan untuk menjawab semua. Kena ada pasukan yang kuat, terlatih, cakna dalam segala isu. Masa (PRU) dalam dua, tiga tahun. Kita ada pilihan raya Sabah, Sarawak, Melaka sebelum PRU pada 2027.

“Bangun dan sedarlah. Kumpulkan kekuatan kita. Saat sukar macam mana pun (dahulu) kita bangkit. Sekarang kita semakin baik jadi harus berikan lebih baik,” katanya pada majlis penutupan majlis konvensyen jelajah KEADILAN di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa elemen menjadi dasar kepada sesi berkenaan termasuk perjuangan parti, kemampuan perdana menteri antara yang lantang membawa isu Palestin selain manfaat diterima rakyat sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata maklumat berhubung keadaan ekonomi turut diambil kira dan menjadi bahan utama mengikut naratif parti supaya isu tidak terus menimbulkan kemarahan awam.

“Yang kita kemukakan, pasakkan bagaimana negeri dan negara ditadbir baik. Antaranya hasil negeri dan negara yang baik dan diagihkan kepada rakyat. Sumbangan Tunai Rahmah juga dinaikkan begitu juga bonus diberikan kepada penjawat awam RM2,000 dan jualan Rahmah.

“Isu semasa yang penting seperti keutuhan kerajaan, isu sensitif contohnya Nik Elin juga perlu diberi perhatian. Jangan harap media rasmi, televisyen sahaja tetapi kita kena masuk bidang itu,” katanya.

 


Pengarang :