Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sesi libat urus JSJ bersama masyarakat di Dewan Pusat Komuniti TTDI pada 9 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Ada mangsa penipuan pekerjaan luar negara diselamatkan jadi ejen sindiket

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Polis Diraja Malaysia mengesyaki terdapat mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara yang pernah diselamatkan sebelum ini, menjadi ejen sindiket bagi merekrut raykat negara ini untuk bekerja di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkara itu kesan hasil saringan daripada keseluruhan individu yang diselamatkan di Myanmar baru-baru ini.

“Kita membuat saringan di lapangan terbang, kita lihat mereka ini pernah keluar ke negara lain dalam cara atau konteks yang lebih kurang sama seperti sebelumnya.

“Apabila kita panggil dan siasat, jawapan yang diberikan oleh mangsa seperti ‘sudah dilatih’,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus JSJ Bersama Masyarakat di dewan Pusat Komuniti TTDI di sini, hari ini.

Bagi mengatasi masalah terbabit, Mohd Shuhaily berkata pihaknya telah memaklumkan situasi tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri, bagi menilai prosedur pengeluaran dokumen perjalanan mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Mohd Shuhaily turut mendedahkan seramai 16 individu, dikenal pasti sudah kembali ke negara tempat mereka terbabit dengan sindiket penipuan pekerjaan sebelum ini.

“Kalau mereka tidak terlibat dengan apa juga permasalahan, dia kembali ke negara ini secara normal, namun sekiranya dia ditangkap atau menghadapi masalah sama itu menunjukkan sangkaan kita benar, bahawa mereka ini tidak serik-serik dengan apa yang pernah berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, berjaya diselamatkan dari 2021 hingga 23 Februari lalu manakala 133 orang masih terkandas di luar negara.

Beliau berkata kebanyakan mangsa dibawa ke negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos dan berdasarkan kajian, 73 peratus daripada mereka bekerja sebagai scammer, 12 peratus petugas khidmat pelanggan, lapan peratus bekerja di kasino dan tujuh peratus menjalankan pelbagai pekerjaan seperti tukang masak dan sebagainya.

– BERNAMA


Pengarang :