GOMBAK, 9 MAC: Sebanyak 132 masjid dan surau sekitar Gombak menerima sumbangan Ihya’ Ramadan sejumlah RM875,000.
Dato’ Menteri Besar berkata setiap masjid dan kategori surau Jumaat masing-masing menerima RM10,000 manakala surau RM5,000.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari sumbangan membolehkan rumah ibadat berkenaan menyediakan kemudahan dan memenuhi keperluan masyarakat Islam pada bulan Ramadan.
“Ia merupakan peruntukan awal yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri, Pusat Khidmat Parlimen Gombak dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di Masjid Al-Hidayah, Hulu Kelang di sini, hari ini.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM10,000 seperti dimohon Pusat Khidmat Parlimen Gombak untuk memenuhi keperluan 22 masjid di bulan Ramadan.
“Peruntukan tambahan buat surau termasuk kategori Jumaat sedang diusahakan dan dijangka paling lewat akan disalurkan sebelum 17 Ramadan.
“Ini menjadikan peruntukan keseluruhan Ihya’ Ramadan untuk setiap masjid dan surau Jumaat RM20,000 dan surau (RM10,000),” katanya.