Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis penutup pusingan akhir Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor kategori Institut Pendidikan Tinggi di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Kuala Selangor pada 10 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Terima pelaburan RM55.3 bilion, Selangor tawar 30,000 peluang kerja

KUALA SELANGOR, 11 MAC: Pelaburan direkodkan Selangor berjumlah RM55.3 bilion sepanjang tahun lalu mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu pelbagai sektor.

Dato’ Menteri Besar berkata meskipun berdepan penularan Covid-19 serta banjir besar, negeri masih mampu membina atau menyediakan tawaran kerja sekali gus memenuhi kehendak pasaran.

Berikutan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya giat menyediakan program atau institusi berkait latihan teknikal dan vokasional (TVET), sesuai dengan keperluan ketika ini.

“Contohannya mewujudkan STDC (Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor). Kita tumpu cara memperhebat TVET untuk persediaan menjadi negeri maju dan mampu tampung keperluan setempat dan modal insan.

“Institusi ini wajar diwujudkan dan diperhebat dengan pelbagai strategik termasuk kemahiran untuk keperluan negara dan negeri,” katanya berucap pada majlis penutup Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024 di sini semalam.

Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dinobatkan juara Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024 kategori institusi pengajian tinggi menjulang piala disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Kuala Selangor pada 10 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

STDC yang dijenamakan daripada Kolej Antarabangsa INPENS pada Ogos 2020 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk merencana Agenda Pendidikan Unggul bawah strategi Belanjawan 2020.

Minggu lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengumumkan pelaburan direkodkan Selangor tahun lalu sebanyak RM55.3 bilion, melebihi sasaran RM45 bilion yang ditetapkan.

Data agensi turut menunjukkan projek perkilangan atau sektor pembuatan mencatatkan peningkatan daripada RM19.3 bilion pada tahun lalu berbanding RM12.2 bilion pada 2022.


Pengarang :