AGENDANASIONAL

Khazanah catat untung operasi RM5.9 bilion, dividen lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi iaitu RM5.9 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan 2022 dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Pengarah Urusan Datuk Amirul Fiesal Wan Zahir berkata prestasi lebih kukuh itu dipacu oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal.

“2023 merupakan tempoh mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan tinggi terhadap kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kelembapan dalam inflasi yang tinggi, keadaan monetari yang ketat, tumpuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik berlanjutan,” katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata namun begitu, Khazanah kekal berdaya tahan dan melaksanakan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan mampan di samping melabur demi masa depan selain menerapkan kemampanan merentas operasi.

Dana kekayaan negara itu mengumumkan dividen lebih baik iaitu sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada kerajaan (tahun kewangan 2022: RM500 juta), menjadikan dividen kumulatif yang dibayar sejak 2004 kepada RM18.1 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :