Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan majlis sambutan ulang tahun sedekad Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 11 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri hasrat guna pakai akta urus sisa pepejal, serah surat kepada KPKT minggu ini

HULU LANGAT, 11 MAC: Kerajaan Negeri berhasrat mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat EXCO esok sebelum menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam minggu ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis sambutan ulang tahun sedekad Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 11 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Secara asasnya Kerajaan Negeri berminat, cuma kita mahu tetapkan dalam mesyuarat EXCO (esok) sebelum kita hantar surat secara rasmi dalam minggu ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau meninjau hari pertama sesi persekolahan serta meraikan ulang tahun sedekad Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bukit Mahkota di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat lawatan didalam sekolah selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke – 10 di Sekolah Kebangsaan BAndar Bukit Mahkota, Kajang pada 11 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin menambah, Kerajaan Negeri menjangkakan akan melaksana Akta 672 pada tahun ini selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk fungsi KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

“Kalau kita terima Akta 672, ia akan ambil masa enam hingga lapan bulan untuk lengkapkan persetujuan dan sudah pasti fungsi KDEBWM akan kita beri secara signifikan untuk urus sisa pepejal dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan pihaknya sedang menunggu keputusan Kerajaan Selangor, yang bakal menjadi negeri kelapan melaksana Akta 672.

Ketika ini, tujuh negeri telah mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Kuala Lumpur.

Akta itu membolehkan keseragaman undang-undang dalam mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap serta merancakkan ekonomi kitaran.


Pengarang :