AGENDAJENAYAH

Lelaki gagal seludup 14,000 pil methamphetamine dibawa dalam bungkusan, beg pinggang

ALOR SETAR, 12 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan lelaki warga Thailand bersama 14,000 pil methamphetamine di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi, 6 Mac lalu.

Pengarah Kastam Kedah Nor Izah Abd Latiff berkata sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi menahan lelaki berusia 42 tahun itu selepas suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan pada 2.30 petang.

“Pemeriksaan awal menjumpai satu bungkusan biru yang dibalut rapi mengandungi 11,600 pil methamphetamine seberat 1,102 gram. Pemeriksaan lanjut terhadap beg pinggang hitam milik lelaki itu pula menjumpai 2,400 biji pil sama seberat 228 gram.

“Nilai keseluruhan barang larangan yang dirampas itu dianggarkan RM210,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan suspek ialah melalui kawasan pemeriksaan kastam tanpa bagasi dan hanya membawa serta memegang bungkusan barangan untuk kegunaan sendiri.

Nor Izah berkata ujian saringan urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu direman tujuh hari hingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kastam juga meminta orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau ke Pejabat Kastam terdekat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :