Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap sempena majlis peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 20 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kod etika wartawan tidak kekang media, ditambah baik sejak dilancar 1989

SHAH ALAM, 12 MAC: Kod Etika Wartawan yang diluncur Kementerian Komunikasi bulan lalu bukan dokumen baharu untuk mengekang pengamal media menjalankan tugas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Kod Etika Wartawan merupakan penambahbaikan daripada Etika Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia dikenali Malaysian Press Institute (MPI) yang dibuat pada 1989.

“Ini bukan kod etika baharu, ia dihasilkan berdasarkan Etika Kewartawanan MPI. Bila kita semak balik, dokumen itu sudah berusia 35 tahun dan banyak perkara boleh ditambah baik.

“Sebagai contoh, antara perkara yang menjadi asas etika itu adalah salah satunya menyedari bahaya komunisme di mana sekarang sudah tidak ada. Menerusi sesi libat urus bersama, maka ada persetujuan untuk tambah baik,” katanya.

Buku Kod Etika Wartawan Malaysia yang diluncurkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 20 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Bersatu-Tasek Gelugor) yang ingin mengetahui rasional penggubalan Kod Etika Wartawan dan implikasi terhadap kebebasan media di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi menjelaskan kad perakuan media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan juga bukan lesen bertugas dan ia hanya bagi memudahcara untuk wartawan menyelesaikan tugasan di lapangan.

“Kad perakuan media mula digunakan sejak 1995. Kalau tidak ada kad perakuan media tidak bererti wartawan tidak boleh bertugas. Ia bukan dokumen untuk mengongkong petugas media,” katanya.

Kod Etika Wartawan yang dilancar pada 20 Februari lalu mengandungi lapan etika utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk dan perlu telus, berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.


Pengarang :