Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis penutup pusingan akhir Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor kategori Institut Pendidikan Tinggi di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Kuala Selangor pada 10 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Lahir mahasiswa kritis, negeri sokong penganjuran pertandingan debat

SHAH ALAM, 12 MAC: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran pertandingan debat membabitkan mahasiswa universiti pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar berkata pertandingan itu mampu melahirkan lebih ramai golongan kreatif dan bijak menyampaikan pandangan masing-masing.

“Saya yakin melalui penyertaan dalam pertandingan ini dapat melatih peserta untuk berfikir secara rasional seterusnya mengemukakan cadangan bernas.

“…dan menjana pemikiran kritis dalam kalangan peserta bagi menyampaikan idea dan membuat maklum balas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang dinobatkan juara pertandingan debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024 menjulang piala disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Kuala Selangor pada 10 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang menjuarai pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024 pada Ahad lalu.

Ucapan tahniah turut diberi kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dinobatkan naib juara manakala Universiti Pertahanan Nasional Malaya (UPNM) di tempat ketiga.

Pertandingan memasuki tahun ketiga diadakan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor dengan penglibatan 47 pasukan dari institusi pengajian tinggi dan 13 pasukan prauniversiti.

Ia dianjur pada 2019 yang mana Universiti Selangor menjadi tuan rumah dan kali kedua di Universiti Islam Selangor (UIS).


Pengarang :