EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi merasmikan Festival Ramadan Selangor 2024 (Sedekad Festira) di SACC Mall, Shah Alam pada 12 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Festival Ramadan Selangor sasar dua juta pengunjung, bantu usahawan jana pendapatan

SHAH ALAM, 12 MAC: Festival Ramadan Selangor 2024 (Sedekad Festira) anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) diadakan di lima lokasi tahun ini melibatkan kira-kira 1,200 usahawan termasuk golongan artis.

Festival berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall serta dua lokasi baharu, Plaza Alam Sentral dan SACC Walk dari 22 Februari hingga 9 April ini, kata EXCO keusahawan.

Najwan Halimi berkata memasuki sedekad penganjuran, Festira menyasarkan kehadiran dua juta pengunjung sepanjang 48 hari diadakan.

“Artis tanah air turut berniaga kali ini antaranya Datuk Afdlin Shauki, Ako Mustapha, Tyzo Xynder dan Hijjaz yang menjual pakaian serta keperluan raya lain.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan
Najwan Halimi berucap pada majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2024 (Sedekad Festira) di SACC Mall, Shah Alam pada 12 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Festira merupakan inisiatif negeri membantu usahawan menjana pendapatan sepanjang Ramadan dan kali ini jangkaan nilai transaksi antara RM500,000 hingga RM1 juta diterima peniaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festira di sini hari ini.

Najwan berkata beberapa artis tempatan juga bakal membuat persembahan antaranya Haiza, Elyana, Ezlynn, Najwa Latiff, Dafi, Amylea serta Syura bertujuan menarik lebih ramai pengunjung.

“Penganjur turut adakan program agihan bubur lambuk Kampung Baru secara percuma, solat tarawih berjemaah selain menyediakan kaunter bayaran zakat,” katanya.

Tahun lalu, festival bertemakan ‘Festira-Ya!’ menerima lebih dua juta pengunjung dengan penyertaan kira-kira 1,000 usahawan.

Festival tahun ini menyaksikan PREC sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan MBSB Bank Sdn Bhd dan PayNet bagi memacu perniagaan tanpa tunai serta memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Selain memanfaatkan peniaga, kerjasama itu juga bakal memperluas penggunaan produk digital melalui platform bayaran runcit masa nyata (RPP) yang diuruskan PayNet.

Shayana Ramli (kiri) bersama rakan Amirah Balqis Mohd Sazali (tengah) dan Nur Syafiqah Mohamed Ismail melihat baju raya pada majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2024 (Sedekad Festira) di SACC Mall, Shah Alam pada 12 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :