EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi berucap pada majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2024 (Sedekad Festira) di SACC Mall, Shah Alam pada 12 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Jurulatih baharu tingkat prestasi Gergasi Merah, beraksi lebih cemerlang

SHAH ALAM, 12 MAC: Prestasi skuad Gergasi Merah diyakini kekal cemerlang pada musim ini, ditambah dengan kepimpinan jurulatih baharu yang bakal diumum seminggu lagi.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata barisan pemain sedia beraksi dan memberi saingan hebat kepada pasukan lain dalam merebut tempat teratas.

“Selangor FC sedang meneliti empat calon jurulatih yang bakal mengemudi pasukan, tiga merupakan calon luar negara dan seorang tempatan.

“Calon terpilih akan memikul tanggungjawab memimpin pasukan Selangor dan jamin beri kejayaan pada musim ini. Walau bertukar (jurulatih), semangat pemain tetap terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Ramadan Selangor 2024 di SACC Mall di sini hari ini.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi merasmikan Festival Ramadan Selangor 2024 (Sedekad Festira) di SACC Mall, Shah Alam pada 12 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semalam, ketua pegawai eksekutif Selangor FC berkata pihaknya bakal mengumumkan ketua jurulatih baharu dalam seminggu lagi bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang berhijrah ke kelab Liga Thailand, Police Tero.

Jelas Dr Johan Kamal Hamidon, semua calon yang ditemuduga sedar tanggungjawab yang akan digalas bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia serta saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Pada 28 Februari, skuad Gergasi Merah mengumumkan Cheng Hoe yang juga bekas jurulatih kebangsaan menamatkan kontraknya serta-merta manakala pembantunya Nidzam Jamil dilantik selaku ketua jurulatih sementara.

Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe membantu Selangor menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super 2023 sekali gus memastikan Selangor FC layak secara automatik ke ACL2 musim ini.


Pengarang :