Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki simbah petrol, bakar wanita dicari polis

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Dua lelaki warga asing yang didakwa menyimbah petrol dan membakar seorang wanita warga asing di padang permainan Kampung Cheras Baru di sini 10.30 malam, Sabtu lalu dicari polis.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata pihaknya menerima laporan kejadian oleh suami mangsa pada 1.34 pagi keesokannya dan pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan dua suspek berumur lingkungan 26 hingga 35 tahun.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang memegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ke padang permainan untuk mengambil anak lelakinya yang berumur dua tahun.

“Mangsa kemudian terserempak dengan dua lelaki warga asing yang dikenalinya dalam keadaan mabuk dan seorang daripada suspek menyuruh mangsa membeli petrol dan diisi ke dalam botol.

“Setelah mangsa menyerahkan botol yang berisi petrol kepada suspek, kedua-dua suspek menyimbah petrol serta menyalakan api terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata mangsa yang melecur hampir 30 peratus di bahagian muka dan badan masih menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan, manakala anak mangsa cedera ringan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu menghubungi Hotline Polis Cheras melalui talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

– BERNAMA


Pengarang :