Atlet Karate Negara Muhammad Arif Afifuddin (dua kanan) disambut ahli keluarga selepas berjaya menyumbangkan satu pingat emas dalam acara kumite 84 kilogram pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Arif tekad buru emas pada Kejohanan Karate Asia di China September ini

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Jaguh karate negara Muhammad Arif Afifudin Ab Malik tekad untuk terus menguasai Asia dengan menanam misi memburu emas dalam Kejohanan Karate Asia (AKF) yang berlangsung di Hangzhou, China pada 20 hingga 22 September ini.

Sebelum itu, beliau bakal menjadikan Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) ke-11 di Thailand pada April ini sebagai pentas membina kembali keyakinan memandangkan beliau gagal menaiki podium pada kejohanan Karate K1 Siri A di Larnaca, Cyprus Februari lepas.

“Di SEAKF saya perlu mendapat pingat emas … saya boleh bina keyakinan sebelum ke kejohanan Asia itu. Di AKF, saya akan berentap bagi acara 84 kilogram (kg), pada Sukan Asia saya menang acara itu, jadi saya rasa boleh naik podium, cuma perlu bina keyakinan di SEAKF,” katanya kepada Bernama.

Pada 18 Feb lepas, pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 acara kumite -84 kg itu terpaksa berpuas hati berkongsi tempat kelima dengan Arslan Hasan dari Turkiye selepas kalah 1-5 kepada Nikola Malovic dari Montenegro dalam pusingan repechage acara lelaki bawah 84 kg.

Dalam pada itu, atlet berusia 25 tahun itu berkata meskipun berpuasa, beliau kini sedang giat melakukan latihan intensif sebagai persediaan ke Thailand.

Katanya, setiap hari beliau akan menjalani latihan pada waktu petang dan malam, selain hanya akan mengambil cuti yang pendek bagi menyambut perayaan Aidilfitri memandangkan kejohanan SEAKF akan berlangsung selepas perayaan itu iaitu pada 24 hingga 26 April.

“Memang perlu berlatih sebab banyak yang perlu ditambah baik kerana teknik (berlawan) saya agak kurang, saya akan bincang dengan jurulatih untuk fokus kepada teknik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai statusnya untuk menyertai Kejohanan Dunia Karate di Mesir tahun depan, Muhammad Arif berkata beliau masih perlu mengutip mata kelayakan pada pertandingan tertentu untuk menyertai kejohanan dunia berprestij itu.

“Ada lagi satu kejohanan yang boleh mengutip mata iaitu di Turkiye, namun saya perlu melihat dulu, kalau ada kekosongan baru saya sertai sebab ranking saya 44, untuk sertai kejohanan itu perlu berada di ranking 32 terbaik dunia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :