Pengunjung menunjukkan barangan asas yang dibeli ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pekarangan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Desa Coalfield, Kuala Selangor pada 19 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program Payung Rahmah Madani tangani kos sara hidup rakyat, diperuntuk RM200 juta

SHAH ALAM, 13 MAC: Program Payung Rahmah Madani yang dijenamakan semula daripada Program Payung Rahmah diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM200 juta.

Timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata selain mengekalkan inisiatif sedia ada seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah, program itu diperluaskan kepada pelbagai inisiatif lain bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Fuziah Salleh dalam sidang Dewan Rakyat menjelaskan antaranya termasuk inisiatif Pasar Rahmah yang diperluas ke bazar Ramadan Rahmah di 64 lokasi seluruh negara.

“Di bazar Ramadan ini juga disediakan Menu Rahmah dan pemberian eDompet kepada pengunjung yang akan dilancarkan di Presint 14, Putrajaya esok dengan pemberian 1,000 eDompet bernilai RM20.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. Foto BERNAMA

“Inisiatif Ehsan Rahmah turut diperkenalkan untuk melibatkan pihak swasta dan industri dalam sebarang program berbentuk sumbangan ehsan jualan rahmah kepada komuniti termasuk pekerja mereka (menggunakan dana pihak swasta dan syarikat sendiri).

“Turut disediakan kad diskaun Menu Rahmah kepada (peniaga) Menu Rahmah dan Menu Siswa Rahmah dengan kira-kira 30 peniaga sudah diluluskan. Enam rakan strategik terlibat menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada pemegang kad,” katanya.

Beliau menjawab soalan ahli parlimen Rasah yang ingin tahu status terkini program Rahmah yang diperkenal sejak awal tahun lalu.

Selain itu katanya kajian impak program payung Rahmah pada akhir tahun lalu mendapati 81 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan pelaksanaannya.

“Manakala 87 peratus rakyat Malaysia berharap program payung Rahmah dikekalkan dan 73 peratus rakyat Malaysia bersetuju program ini dapat mengurangkan kos sara hidup,” katanya.


Pengarang :