Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad bergambar pada Majlis Pengisytiharan keputusan peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat negeri Selangor tahun 2019 dan pelancaran Modul Pemberdayaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan teknologi (MITS) Negeri Selangor 2019 di -Dewan Syarahan Masjid Negeri, Shah Alam. 20 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Keputusan SMA Selangor meningkat, lebih 1,000 calon raih pangkat cemerlang

SHAH ALAM, 14 MAC: Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) Selangor 2023 menyaksikan peningkatan dua peratus dengan pencapaian 99.6 peratus, berbanding 97.6 peratus tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata daripada jumlah itu 1,116 calon memperolehi pangkat Cemerlang (Mumtaz) berbanding 783 calon pada 2022.

Menurut Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad pencapaian calon yang memperoleh pangkat Sangat Baik (Jayyid Jiddan) meningkat 6.9 peratus iaitu membabitkan 1,197 calon berbanding 1,069 calon pada 2022.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual di pejabatnya di Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Bagi calon SMA yang mendapat pangkat Baik (Jayyid) 12.8 peratus atau 361 calon berbanding 23.4 peratus atau 707 calon tahun sebelumnya.

“Bagi calon yang memperoleh pangkat Lulus (Maqbul) pula adalah 5.1 peratus atau 144 calon berbanding 385 calon pada 2022,” katanya pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan sekolah agama menengah Selangor 2023 di sini, hari ini.

Shahzihan menambah 2,860 calon menduduki peperiksaan SMA tahun lalu membabitkan pelajar sekolah agama menengah bantuan khas, Maahad Integrasi Tahfiz Selangor dan calon sekolah swasta serta persendirian.

Jelasnya hanya 12 calon belum mencapai tahap minima kelulusan (Musaadah) dan memerlukan bimbingan, berbanding 73 calon pada tahun sebelumnya sekali gus membuktikan usaha berterusan daripada semua pihak.

“Marilah kita meningkatkan lagi usaha dan berdoa agar dapat mencapai kelulusan 100 peratus sifar Musaadah dalam peperiksaan SMA akan datang,” katanya.

Dalam majlis sama, Shahzihan turut mengumumkan empat peperiksaan lain bagi sekolah agama menengah Selangor 2023 berjaya mencapai keputusan 100 peratus lulus.

Empat peperiksaan itu adalah Sijil Menengah Agama Tahfiz Al Quran (SMATQ), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al Quran Kurikulum Bersepadu Tahfiz (SMATQKBT), Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD), dan Sijil Kafa Menengah (SKM).


Pengarang :