Penjual telur, Mohd Arif Aiman Ahmad Azli, sedang membungkus dan mengasingkan telur ketika Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Subsidi, harga kawalan telur ayam diteruskan ikut mekanisme sedia ada

SHAH ALAM, 14 MAC: Subsidi dan harga kawalan telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan mengikut mekanisme sedia ada, kata menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

Menurut Datuk Seri Mohamad Sabu, kerajaan juga sentiasa memantau pengeluaran dalam peringkat ladang bagi memastikan bekalan mencukupi, khususnya ketika musim perayaan.

“Sebarang perubahan dasar akan mengambil kira semua faktor khususnya trend bekalan semasa.

“Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bekalan telur di ladang dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat.” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Mohamad berkata Malaysia mempunyai lebihan bekalan telur sebanyak 20 juta dan mencapai tahap Kadar Sara Diri (SSR).

Selain itu, beliau memaklumkan bekalan ayam juga stabil dan faktor tersebut turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa pada kadar yang munasabah.


Pengarang :