Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan projek naik taraf klinik daif di seluruh negara menerusi inisiatif Bitara Madani. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Klinik Kesihatan Semenyih siap Jun 2025, kapasiti 800 pesakit sehari

SHAH ALAM, 14 MAC: Klinik Kesihatan Semenyih yang baharu dijangka siap Jun tahun depan dengan kapasiti 800 pesakit sehari.

Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Lukanisman Awang Sauni berkata pembinaan klinik baharu yang sedang dalam pembinaan itu bagi mengatasi kesesakan klinik kesihatan sekitar Hulu Langat.

“Saya mengambil maklum mengenai keadaan klinik kesihatan yang sesak dalam kawasan Hulu Langat.

“Kementerian Kesihatan juga melanjutkan waktu operasi Klinik Kesihatan Ampang dan Klinik Kesihatan Kajang bagi meningkatkan akses penduduk setempat kepada perkhidmatan kesihatan.

“Klinik Kesihatan Ampang dan Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi juga beroperasi hujung minggu dan cuti umum untuk perkhidmatan khusus seperti pemeriksaan jaundis neonatal kanak-kanak,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Lukanisman dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya hari ini berkata semua klinik kesihatan daerah Hulu Langat juga telah mula membuka slot janji temu atas talian melalui aplikasi MySejahtera.

“Ia bagi menguruskan kedatangan pesakit dan mengurangkan kesesakan, semua klinik kesihatan dalam Hulu Langat,” katanya.

Selain itu katanya dari 2023 hingga 2025 sebanyak 1,200 klinik kesihatan daif seluruh negara disasar dibaik pulih dengan 524 selesai dibaik pulih dan dinaik taraf tahun lalu.

“Kementerian Kesihatan turut menyasarkan 400 lagi klinik kesihatan daif seluruh negara dinaik taraf melibatkan peruntukan RM150 juta tahun ini,” katanya.


Pengarang :