Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tiga dari kanan) menerima risalah kesihatan daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin pada program lawatan datuk bandar Petaling Jaya ke bazar Ramadan 2024 di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, pada 15 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ perluas konsep tanpa tunai di 19 lokasi bazar Ramadan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 16 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perluas konsep bayaran tanpa tunai di 19 lokasi bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandarnya berkata bertepatan dengan tema bazar Ramadan pihak berkuasa tempatan itu tahun ini iaitu ‘Digital and Clean’, pihaknya mewajibkan 953 pemegang permit bazar Ramadan 2024 melampirkan salinan kod QR ketika memohon.

“100 peratus usahawan mikro bazar Ramadan telah melampirkan kod QR dan penggunaan tanpa tunai dijangka capai 85 peratus.

“MBPJ tahun ini bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI- Platform Selangor (PLATS) dengan menyediakan kupon bernilai RM20 kepada pengunjung bazar Ramadan Petaling Jaya di empat lokasi terpilih,” kata Mohamad Zahri Samingon.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon beramah mesra dengan pengunjung pada program lawatan datuk bandar Petaling Jaya ke Bazar Ramadan 2024 di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, pada 15 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada program lawatan datuk bandar Petaling Jaya ke bazar Ramadan 2024 ‘Digital & Clean’ di Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin; Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor dan Timbalan Datuk Bandar, Aznan Hassan.

Mohamad Zahri berkata MBPJ turut menjalankan pemeriksaan kebersihan tiga kali semakan di setiap lokasi bazar Ramadan.

“Antara semakan yang dibuat adalah ‘hand swab’ ke atas peniaga bazar bertujuan mengenalpasti E-Coli.

“Berdasarkan rekod E-Coli pada 2023, 363 sampel telah diambil manakala keputusan positif 82 kes,” katanya.


Pengarang :