Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Malaysia kecam serangan udara Israel terhadap bantuan kemanusiaan Ops Ihsan

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kerajaan Malaysia mengecam serangan udara tidak bertanggungjawab yang dilakukan rejim Israel ke atas kem Al-Nuseirat di Semenanjung Gaza pada 14 Mac, kata Kementerian Luar semalam.

Kementerian itu berkata serangan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan lapan rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih 20 petugas.

Petugas itu sedang dalam persiapan untuk mengagihkan bekalan makanan yang amat diperlukan dan disumbangkan rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Ops Ihsan (gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan – NGO Malaysia).

“Tindakan keganasan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah ini jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Serangan terhadap penduduk Palestin ini juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk hidup dengan aman, selamat dan tenteram,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.

Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata mereka yang berada di kem itu adalah rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukan ancaman kepada rejim Israel, tetapi hanya menjalankan tanggungjawab kemanusiaan terhadap sesama penduduk Palestin.

“Kami meminta masyarakat antarabangsa campur tangan dengan segera dan tegas, dan meminta rejim Israel supaya bertanggungjawab atas ketidakpedulian mereka secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan memastikan keselamatan rakyat Palestin.

“Keadilan mesti ditegakkan dan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang lagi. Solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin mesti diperluaskan bagi memastikan usaha mereka untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan hak mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Malaysia berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

– BERNAMA


Pengarang :