Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berucap ketika Wacana Bahasa Kebangsaan: Kerancuan Bahasa Tanggungjawab Kita di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2024. Foto Facebook DBP
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tahap mutu bahasa Melayu di jabatan kerajaan, PBT lebih 90 peratus

Oleh Dr Hazami Jahari

SHAH ALAM, 18 MAC: Antara tujuan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti mana yang dinyatakan pada Seksyen 5 (2) Akta DBP (Pindaan dan Peluasan 1995) termasuklah menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan meluas berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa. Maksud “untuk menggalakkan” termasuklah memberikan arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan.

Penguatkuasaan bahasa kebangsaan dilaksanakan oleh DBP menggunakan peruntukan akta yang sedia ada melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa penguatkuasaan dalam bidang yang berkenaan, seperti pihak berkuasa tempatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan lain-lain.

Selain itu, bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul di tempat awam, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertarikh 24 Februari 2015 yang telah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewajibkan pengiklan dan agensi pengiklanan di seluruh Malaysia mematuhi peraturan dan arahan Undang-undang Kecil Iklan tentang penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan papan iklan di tempat awam dan penamaan nama khas.

Dalam hal ini, semua pengiklan dan agensi pengiklanan diwajibkan mendapatkan pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul daripada DBP sebelum mereka diberikan lesen oleh PBT untuk memaparkan atau menyiarkan iklan di tempat awam.

Berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh lima tahun, jumlah kelulusan pengesahan iklan menunjukkan trend peningkatan yang menggambarkan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan Undang-undang Kecil Iklan serta nasihat daripada DBP.

Oleh yang demikian, sewajarnya iklan yang dipaparkan atau disiarkan di tempat awam adalah yang baik dan betul selari dengan kelulusan DBP.

Walaupun begitu, DBP tetap melaksanakan pemantauan menyeluruh dari semasa ke semasa dengan tujuan merakam, mengawasi, mengenal pasti, menegur dan memberikan ulasan serta mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan bahasa dengan kadar yang segera. Berdasarkan data yang diperoleh dalam tempoh lima tahun, jumlah aduan yang diterima dan surat teguran yang dikeluarkan jelas menampakkan situasi yang membimbangkan.

Bahasa komunikasi

Laporan media sosial atau isu-isu yang ditularkan dari hari ke hari jelas memberikan isyarat bahawa pengesahan bahasa Melayu yang baik dan betul oleh DBP tidak berlaku.

Masih banyak lagi papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan atau menggunakan bahasa asing sepenuhnya atau bercampur atau tidak mengutamakan bahasa Melayu dari segi saiz, kedudukan dan warna huruf.

Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan berhemah dan berkesan kedaulatan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi umum dan bahasa rasmi mengikut Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan akan terancam.

DBP juga melaksanakan program pemartabatan bahasa kebangsaan sektor awam dan swasta, iaitu Audit Bahasa Melayu dan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan di sektor awam, swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 “Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam”, Perkara 7 pula menyatakan semua pegawai awam perlu menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul dalam semua urusan rasmi sama ada secara bertulis atau lisan.

Program Audit Bahasa dilaksanakan untuk menilai tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi yang melibatkan dalam dan luar negara selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Versi 1.0 (2022), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.

Pegawai juga hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bahasa kebangsaan yang baik dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa serta menghayati aspirasi penggunaannya semasa berkomunikasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Berdasarkan Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu dan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan di sektor awam, swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bermula dari 2013 hingga 2023, dapatlah dirumuskan bahawa:

i. Penggunaan bahasa lain sepenuhnya ditemui dalam dokumen rasmi seperti dokumen perjanjian, nota pembentangan, dokumen edaran serta paparan dan peragaan.

ii. Penggunaan bahasa bercampur banyak ditemui dalam dokumen edaran, dokumen perjanjian serta paparan dan peragaan.

iii. Aspek kesalahan yang paling banyak ditemui dari segi mutu penggunaan bahasa Melayu ialah kosa kata dan binaan ayat.

Keputusan Audit Bahasa Melayu (yang mencapai skala lima bagi tahap dan mutu) adalah seperti yang berikut:

i. Bagi kategori kementerian – Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

ii. Bagi kategori agensi/jabatan/badan berkanun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Biokeselamatan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Majlis Sukan Negara.

iii. Bagi kategori syarikat berkaitan kerajaan – Institut Terjemahan dan Buku Malaysia

Keputusan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempat (yang memperoleh lima bintang) adalah seperti yang berikut:

i. Bagi kategori dewan bandar raya/majlis bandar raya/PBT ibu negeri (daripada 18 dewan bandar raya) hanya Majlis Bandaraya Shah Alam yang memperoleh keputusan lima bintang.

ii. Bagi kategori majlis perbandaran (daripada 39 majlis perbandaran) hanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang memperoleh keputusan lima bintang.

iii. Bagi kategori majlis daerah (daripada 96 majlis daerah) hanya dua majlis daerah memperoleh keputusan lima bintang iaitu, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Langat.

Bagi meningkatkan nilai ekonomi dan komersial bahasa Melayu di dalam negara, mahu tidak mahu bahasa Melayu perlu menjadi “pemain utama” dalam bidang perbankan dan kewangan di dalam negara. Sehubungan dengan itu, DBP menjalinkan kerjasama mantap dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menetapkan standard penarafan bahasa Melayu di sektor Industri Perkhidmatan Kewangan.

Keputusan pelaksanaan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan (yang memperoleh 5 bintang) adalah seperti yang berikut:

i. Bagi kategori bank perdagangan (daripada lapan bank perdagangan) tiada bank yang mendapat keputusan lima bintang.

ii. Bagi kategori bank Islam (daripada 10 bank Islam) hanya dua bank sahaja yang memperoleh keputusan lima bintang iaitu Affin Islamic Bank dan Public Islamic Bank.

iii. Bagi kategori bank pembangunan (daripada empat bank pembangunan) hanya Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang memperoleh keputusan lima bintang.

Seterusnya, DBP juga melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Bandar Utama di Malaysia. Kajian dilakukan di Kuching pada 2019 hingga 2020, Kota Kinabalu (2020-2023), Kuala Lumpur (2021-2023), Shah Alam (2021-2023), Kuantan (2022-2023) dan Kuala Terengganu (2022-2023).

Skop Kajian:

Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Bandar Utama di Malaysia melalui domain:

i. Papan Tanda Premis Perniagaan

ii. Kain Rentang

iii. Gegantung

*Kajian awal Kuching, Sarawak menggabungkan domain Kain Rentang dan Gegantung.

Sikap Masyarakat Terhadap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Bandar Utama di Malaysia melalui domain:

i. Penguatkuasaan

ii. Kesetiaan Bahasa

iii. Kebanggaan Bahasa

iv. Norma Bahasa

v. Iltizam

Berdasarkan kajian, tahap penggunaan bahasa kebangsaan di Kuching, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuantan dan Kuala Terengganu tidak memuaskan.

Masyarakat di Kuching, Kota Kinabalu, WP Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuantan dan Kuala Terengganu sangat positif dan mempunyai iltizam dalam menyokong penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

DBP juga melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Laman Sesawang Kerajaan Negeri. Kajian di Sarawak pada 2020, Sabah (2021), Selangor (2021), Negeri Sembilan (2021), Pahang (2021), Kedah (2022-2023), Perlis (2022-2023) dan Wilayah Persekutuan (2021-2023).

Skop kajian:

Tahap penggunaan bahasa dalam laman sesawang kerajaan negeri sama ada menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris berdasarkan domain:

i. Muka Depan Laman Utama Sesawang

ii. Visi dan Misi

iii. Piagam Pelanggan/Sejarah/Mengenai Kami/Latar Belakang

Mutu penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang kerajaan negeri yang melibatkan sistem ejaan, tanda baca dan simbol, dan pembentukan kata berdasarkan domain:

i. Muka Depan Laman Utama Sesawang

ii. Pengenalan/Tentang Kami/Profil Kementerian

iii. Penerbitan/Muat Turun/Pusat Media

Dapatan kajian mendapati tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang di 34 jabatan utama kerajaan negeri di enam zon berada pada tahap sangat memuaskan (cemerlang), iaitu 85 peratus ke atas dalam penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang kerajaan negeri masing-masing.

Dari aspek mutu penggunaan bahasa kebangsaan dalam laman sesawang kerajaan negeri, dapatan kajian mendapati kesalahan ejaan yang ketara dalam laman sesawang kerajaan negeri Kedah, iaitu sebanyak 74 peratus, kesalahan tanda baca dan simbol pula banyak didapati dalam laman sesawang kerajaan negeri Pahang, iaitu sebanyak 39 peratus. Kesalahan pembentukan kata paling banyak didapati dalam laman sesawang Wilayah Persekutuan, iaitu sebanyak 40 peratus.
__________________________________________________________________________________________________

Sedutan muka surat 13 – 38 teks ucapan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari ketika Wacana Bahasa Kebangsaan: Kerancuan Bahasa Tanggungjawab Kita di Kuala Lumpur pada 28 Februari. Video ucapan beliau boleh disemak di Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka mulai minit 1:18:00

 


Pengarang :