Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Lelaki maut ditikam selepas minum air oren rakan ketika berbuka puasa

 

SHAH ALAM, 20 MAC: Lelaki warga Bangladesh maut ditikam rakan sekerja ketika berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian berpunca apabila suspek warga Pakistan marah air orennya diminum mangsa berusia 49 tahun ketika berbuka puasa.

“Suspek berumur 51 tahun itu seterusnya bertindak menikam pekerja am itu beberapa kali menggunakan pisau, yang diambil dari dapur,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. Foto Facebook IPD SHAH ALAM

Mohd Iqbal berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 7.20 malam, sebelum bertindak menahan suspek kira-kira 10 minit kemudian di tempat kejadian dan turut merampas pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena, yang dijadikan sebagai asrama di kilang berkenaan.

Mohd Iqbal berkata suspek akan direman hari ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun jika sabit kesalahan.

Pihak yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 0192255597 untuk membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :