Sebuah keluarga mengambil gambar kenangan di Dataran Merdeka pada pagi Aidilfitri pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia disenarai destinasi persaraan kelapan dunia pengiktirafan buat negara

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Kejayaan Malaysia menduduki tempat kelapan dunia sebagai ‘destinasi’ persaraan merupakan pengiktirafan kepada negara ini yang terkenal dengan masyarakat majmuk.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata kedudukan negara dalam ranking 10 terbaik itu memang tidak menghairankan kerana Malaysia mempunyai ‘persekitaran” tersendiri yang mampu menarik minat pekerja luar negara untuk terus menetap di sini.

“Persekitaran negara kita sangat versatile, dari Kuala Lumpur hingga Sabah mereka boleh memilih sendiri sama ada untuk menetap di bahagian kota yang pesat membangun ataupun kawasan kampung dan pendalaman untuk menikmati alam semula jadi,” katanya ketika dihubungi.

Februari lalu Malaysia disenaraikan 10 negara terbaik untuk persaraan oleh ‘International Living’s Annual Global Retirement Index 2024’ mendahului Perancis dan Columbia yang masing-masing di tempat ke-9 dan ke-10.

Beliau berkata pada masa sama antara faktor lain yang menarik minat mereka adalah kos sara hidup di negara ini yang rendah dan makanan pelbagai cita rasa.

“Dari segi makanan, Malaysia menyediakan pelbagai makanan menarik, daripada masakan tempatan mahupun makanan dari negara lain seperti Arab, Korea, Itali dan lain-lain,” katanya.

Nik Maheran berkata program ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) yang diperkenalkan pada 2002 juga menjadi pendorong mereka memilih negara ini kerana inisiatif yang ditawarkan tidak ada di negara lain.

Warga Rusia Elena Sotnik, 61, pula mengakui dirinya ‘jatuh cinta’ dengan Malaysia sebaik menjejak kaki ke negara ini pada 1999 dan berhasrat untuk terus menetap di Kuantan kerana merasakan ibu negeri Pahang itu sebahagian dirinya.

Mengimbau kenangan lama Elena berkata beliau masih mengingati kebaikan dan keramahan orang Malaysia sejak hari pertama berada di Malaysia, walaupun mereka langsung tidak mengenalinya.

“Ke mana sahaja saya pergi, orang sentiasa senyum dan akhirnya saya tahu itu juga sebahagian daripada Malaysian hospitality. Saya juga suka dengan kepelbagaian di sini. Pernah rakan di Rusia bertanya perayaan di Malaysia dan saya jawab terlalu banyak (perayaan) saya sertai.

“Ada Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Krismas dan banyak lagi. Saya tidak pernah ketinggalan satu pun kerana setiap perayaan, pasti ramai yang menjemput. Sudah pasti saya terima dengan senang hati kerana suka suasana raya itu. Semua orang begitu baik walaupun berbeza budaya dan agama,” katanya.

Elena yang turut membawa ibu dan anak-anaknya tinggal di Malaysia berkata beliau juga suka dengan keindahan alam di Malaysia yang menurutnya sangat bertuah kerana memiliki tanah tinggi, pantai dan hutan untuk ‘mengimbangi’ bandar.

Selain Pahang, Elena sentiasa mengambil peluang menerokai pelbagai destinasi lain di Malaysia dan setakat ini, beliau sudah melawat Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis, Kedah dan Johor, namun hatinya buat masa ini, masih terpaut dengan Kuantan.

“Saya suka kerana berhampiran laut. Makanan lautnya segar. Malah antara juadah kegemaran saya ialah ikan tiga rasa yang dimasak menantu. Ya, anak saya bertemu jodoh di Malaysia dan kehadiran tiga cucu menguatkan lagi hasrat saya untuk terus kekal di sini,” katanya.

Perunding Syarikat MyExpat MM2H Arlynna Ujang berkata tahun lalu pihaknya menerima pemohonan MM2H daripada lebih 200 orang dari pelbagai negara dan kebiasaannya mereka mengambil pakej Silver untuk bekerja dan menetap selama lima tahun, dan bayaran yang dikenakan hanya RM5,000 sahaja.

“Bagi pakej Emas pula bayarannya boleh mencecah RM2 juta dan boleh tinggal di Malaysia selama 15 tahun dan pakej Platinium boleh mencecah RM5 juta dan mereka boleh memohon untuk Pemastautin Tetap,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :