Seorang pengunjung bersama anaknya tertarik melihat replika rumah ketika mengunjungi Expo Rumah Bpex (Seronoknya Ada Rumah) di Dewan 3 Pusat Pameran Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada 4 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sektor hartanah kekal positif dipacu minat belian, prospek pemulihan

KUALA LUMPUR, 20 MAC: MIDF Research mengekalkan pendirian positif terhadap sektor hartanah dan yakin pemulihannya akan terus berupaya memacu jualan serta pendapatan baharu untuk pemaju.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata prospek harga hartanah di Malaysia juga kekal sihat berikutan minat belian yang positif.

Pemaju utama pilihan MIDF Research adalah Mah Sing Group dan Matrix Concepts dengan saranan ‘beli’ dan sasaran harga saham masing-masing pada RM1.23 dan RM1.91.

“Kami memilih Mah Sing berikutan strategi pemulihannya yang pantas selain pendedahan tinggi bagi kediaman mampu milik menerusi projek-projek siri M kendaliannya.

“Selain itu, kehadirannya yang ketara dalam segmen hartanah akan turut menyokong pertumbuhan pendapatan bagi tempoh pertengahan dan jangka panjang,” katanya.

Menurut MIDF Research, pemilihan Matrix Concepts adalah berdasarkan angka jualan baharunya yang kekal menggalakkan dengan usaha menambah tanah simpanan di Labu, Negeri Sembilan, akan melonjakkan pertumbuhan pendapatannya.

“Hasil dividen Matrix Concepts juga menarik pada 5.4 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, MIDF Research juga positif terhadap pasaran hartanah Selangor berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan Indeks Harga Rumah (HPI) di negeri itu terus menunjukkan aliran naik.

Ini disokong oleh permintaan yang berdaya tahan terhadap hartanah di Selangor serta pemulihan sektor hartanah di Malaysia.

Malah, MIDF Research berkata landskap hartanah bagi Selangor juga semakin baik sebagaimana dibuktikan oleh jumlah lambakan unit kediaman yang lebih rendah.

“Kediaman tidak terjual di Selangor susut kepada 4,228 unit pada suku keempat 2023 daripada 4,500 unit pada suku ketiga 2023 dan 5,258 unit pada suku keempat tahun kewangan 2022.

“Kami percaya penurunan berterusan jumlah unit tidak terjual ini adalah positif bagi sektor hartanah di Selangor kerana dapat mengurangkan kebimbangan berkaitan penawaran hartanah kediaman.

MIDF Research juga mengetengahkan Puchong sebagai bandar matang di Lembah Klang, sebahagian besarnya disebabkan oleh jaraknya yang berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan menarik minat pembeli.

– BERNAMA


Pengarang :