Sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mengenai rampasan rokok dan minuman keras seludup di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini pada 4 dan 13 Mac 2024. Foto Facebook JKDM Johor.
AGENDAJENAYAH

Kastam rampas rokok seludup bernilai RM18.3 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas

ISKANDAR PUTERI, 20 MAC: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas 21.7 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM18.3 juta termasuk cukai, dalam dua pemeriksaan berasingan di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini pada 4 dan 13 Mac.

Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rokok yang cuba diseludup dalam dua kontena itu, dipercayai sedang dalam perjalanan ke destinasi akhir iaitu Mexico.

“Usaha mengesan pemilik barangan dagangan berkenaan sedang dilakukan. Modus operandi sindiket ini dengan meletakkan 160 kotak berisi permainan plastik kanak-kanak di bahagian depan kontena, bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Rokok-rokok yang diseludup pula diletakkan di bahagian belakang. Semasa pemeriksaan teliti dibuat, pegawai mendapati rokok ini tidak diikrarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 69,360 tin minuman keras pelbagai jenama, bersamaan dengan 60,996 liter yang disyaki cuba diseludup dengan nilai anggaran RM1.8 juta di kawasan sama, pada 29 Jan lepas.

“Kesemua minuman keras ini ditemukan dalam tiga buah kontena berbeza. Modus operandi sindiket terbabit, dengan membuat pengikraran mengelirukan terhadap barangan dagangan,” katanya sambil menambah kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Aminul Izmeer berkata pihaknya mengenal pasti terdapat sindiket menjalankan penyeludupan keluar pendatang asing sempena Hari Raya Aidilfitri ini, dengan mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 seorang.

Beliau berkata perkara tersebut dikesan, selepas menahan 12 warga Indonesia termasuk dua tekong berusia antara 25 hingga 50 tahun dengan kesemua mereka sedang dalam perjalanan menuju ke Pulau Batam, Indonesia, Jumaat lepas.

“Ketika anggota Unit Marin Bahagian Penguatkuasa Kastam sedang menjalankan rondaan di kawasan laut perairan Tanjung Pelepas, pada 2 pagi, Jumaat lepas telah mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua penumpang bot berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, malah dokumen perjalanan juga telah tamat tempoh,” katanya sambil menambah dijangkakan berlaku pertambahan bilangan jumlah pendatang asing keluar meninggalkan negara ini dalam waktu terdekat.

Aminul Izmeer berkata dua tekong telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, manakala 10 orang pula diserahkan kepada Jabatan Imigresen, selain menahan bot fiber beserta enjin yang dianggarkan bernilai RM42,000.

— BERNAMA


Pengarang :