Novel berjudul Penaklukan Andalusia yang diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hura-hara dan cinta buka peluang Islam bertapak di Andalusia

Diterbitkan pada 1903, novel sejarah bahasa Arab Fath al-Andalus merakamkan kisah cinta putera raja dan gadis cantik, persaingan kuasa bangsawan Sepanyol dan gereja Katolik abad ke-8.

Babak-babak zaman gelap Eropah berlaku di Semenanjung Iberia membuka ruang kedatangan pasukan muslim memerangi raja Sepanyol yang menindas.

Turut disentuh, peranan komuniti Yahudi membantu pergerakan tentera diketuai Tariq bin Ziyad, sehingga Andalusia menjadi sebahagian wilayah Islam.

Naskhah hebat itu ditulis pemimpin Pencerahan Arab awal kurun ke-20, Jurji Zaidan, seorang novelis dan wartawan terkenal yang berasal dari Lubnan.

Meneruskan usaha penterjemahan karya agung, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd menerusi projek Siri Pencerahan Selangor menerbitkan terjemahan novel itu dengan tajuk Penaklukan Andalusia.

Abdul Jabbar Md Salleh dan Izzuddin Ramli berkongsi pengalaman menterjemah karya Jurji itu pada 15 Mac.

Kenapa pilih buku tulisan Jurji Zaidan?

Abdul Jabbar: Karya ini mempunyai latar masa dan tempat yang bererti dalam sejarah dan dunia Islam, jadi saya berasa wajar penutur bahasa Melayu didedahkan kepadanya.

Penulisnya pula dipilih kerana Jurji seorang penulis novel sejarah Arab yang terkenal, karyanya tentang Andalusia dianggap sebagai salah sebuah kejayaannya yang paling masyhur. Tulisan-tulisan beliau turut diterjemahkan ke banyak bahasa lain.

Izzuddin: Kami memilih buku Jurji Zaidan kerana beliau seorang pengarang yang terkenal dengan karya-karya sejarahnya yang menyeluruh dan mendalam.

Buku-buku beliau menghimpunkan maklumat yang penting tentang sejarah dan budaya Timur Tengah, yang menjadi sumber rujukan yang berharga bagi pembaca yang ingin mendalami topik tersebut.

Selain itu, gaya penulisan beliau yang jelas dan kritis membuatkan pembaca dapat memahami isu-isu yang rumit dengan lebih mudah.

Jadi, pilihan untuk membaca buku tulisan Jurji Zaidan boleh dianggap sebagai langkah yang bijak bagi mereka yang ingin mendalami sejarah dan budaya Timur Tengah (zaman dahulu) secara mendalam.

Bagaimana proses awal menterjemah buku ini?

Abdul Jabbar: Lazimnya buku dibaca sehingga habis, kemudian barulah diterjemah menurut lisan Melayu yang sesuai.

Izzuddin: Projek terjemahan ini pada awalnya dibahagikan antara dua orang penterjemah, iaitu saya sendiri dan Abdul Jabbar.

Abdul Jabbar Md Salleh

Saudara Abdul Jabbar menterjemahkan separuh pertama dan saya mengambil separuh kedua. Saya hanya sempat menterjemahkan beberapa halaman sehingga saya menyerahkan seluruh tugas itu kepada Abdul Jabbar.

Saya kemudiannya dilantik menjadi penyunting buku itu. Kerja penyuntingan sama menariknya dengan kerja menterjemah.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh penterjemah dan penyunting pada peringkat awal adalah, kedua-duanya akan membaca dan menghadam dahulu jalan penceritaan, gaya bahasa, mengenal pasti istilah-istilah rumit, dan sebagainya sebelum mula menterjemah.

Cabaran menterjemah karya sama ada dari segi bahasa dan lain-lain?

Abdul Jabbar: Saya perlu menyampaikan nuansa budaya daripada bahasa Arab dan Inggeris ke bahasa Melayu dengan tepat, kerana Jurji menulis karya ini asalnya dalam bahasa Arab, manakala Roger Allen menterjemahkannya ke bahasa Inggeris.

Saya pula menterjemahkan daripada bahasa Inggeris sambil merujuk silang karya asal milik Jurji, jadi usaha ini memerlukan kajian dan pertimbangan yang teliti.

Izzuddin: Dari segi bahasa, istilah atau frasa dalam teks asal yang tidak mempunyai padanan langsung dalam bahasa Melayu.

Menterjemahkan istilah-istilah ini dengan tepat tanpa menghilangkan makna asal adalah suatu cabaran yang besar.

Jurji Zaidan menggunakan gaya bahasa dan naratif yang khas. Memindahkan nuansa dan gaya penulisan asal ke dalam bahasa Melayu tanpa kehilangan daya tarik dan keindahan aslinya adalah satu lagi cabaran.

Selain daripada bahasa, novel ini merujuk kepada konteks budaya, sejarah, dan politik yang tidak biasa oleh pembaca Melayu. Jadi, penelitian yang sangat teliti perlu dilakukan.

Ilmu baharu diperoleh ketika proses terjemahan?

Abdul Jabbar: Terdapat perincian budaya yang tidak biasanya diperkatakan. Misalnya orang Yahudi lebih cenderung memilih pemerintahan Islam di Andalusia berbanding Kristian kerana rajanya Roderic memerintah dengan kejam.

Jadi Yahudi memainkan peranan aktif dalam membantu Count Julian menumpaskan Roderic, seterusnya memudahkan Tariq untuk memasuki Andalusia.

Izzuddin: Kami mendapat pengetahuan yang lebih mendalam tentang sejarah dan budaya Andalusia, termasuklah peristiwa penaklukan Islam di wilayah tersebut.

Dari segi bahasa dan kosa kata, kami harus akui bahawa proses menterjemah karya ini telah memperkayakan kosa kata baharu dalam bahasa Melayu serta memperdalam pemahaman tentang struktur dan gaya dalam kedua-dua bahasa.

Penterjemah dapat mengembangkan kemahiran dalam pentafsiran teks terutamanya dalam konteks sejarah dan budaya yang berbeza.

Berapa lama proses terjemahan?

Abdul Jabbar: Barangkali sekitar lapan ke sepuluh bulan untuk terjemahan saja, tidak termasuk suntingan dan lain-lain.

Izzuddin: Lebih kurang sembilan bulan rasanya.

Apa pengajaran dalam karya ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Abdul Jabbar: Buku ini mengajarkan akibat pemerintahan yang lemah dan zalim. Pembaca juga dididik dengan ketahanan Florinda (anak Count Julian) serta percaturan politik Julian dalam mencapai matlamatnya untuk membela kehormatan Florinda.

Izzuddin: Penaklukan Andalusia adalah sebuah karya yang menggambarkan peristiwa penaklukan Andalusia oleh pasukan Islam pada abad ke-8.

Kita belajar tentang ketabahan dan keberanian yang luar biasa oleh pihak penakluk. Selain itu, para pembaca juga dapat menghargai keharmonian dalam pelbagai budaya.

Andalusia merupakan tempat di mana budaya Islam, Kristian, dan Yahudi berkembang secara harmoni. Penaklukan Andalusia juga mempunyai kesan yang besar terhadap sejarah dan tamadun dunia.

Pembaca dapat memahami bagaimana peristiwa sejarah tertentu boleh membentuk arah perkembangan manusia dan masyarakat.

Ada bab yang beri kesan emosi?

Abdul Jabbar: Ada babak yang mengisahkan pengorbanan dan peperangan yang boleh menyentuh hati. Peribadinya, perincian tentang ketua keluarga di ladang anggur yang berusaha menjaga keluarganya daripada serangan tentera paling menunjukkan nasib malang rakyat ketika perang.

Bahagian mana paling menarik mengenai penaklukan Andalusia dalam buku ini?

Abdul Jabbar: Biasanya apabila bercerita tentang Andalusia, perspektif yang diutamakan adalah perspektif penakluk muslim atau Tariq.

Buku ini menawarkan kaca mata Kristian Visigoth yang menghadapi krisis dalaman tatkala menghadapi kemaraan musuh mereka.

Izzuddin: Kesemua bahagian.

Mengapa setiap rumah perlu ada buku ini?

Abdul Jabbar: Bacaan sejarah daripada pelbagai perspektif membantu kita berlapang dada dan meraikan pihak-pihak yang berbeza.

Membaca tulisan daripada kurun-kurun lampau boleh mencerahkan kita tentang bagaimana orang pada zaman tersebut memahami peristiwa yang berlaku.

Izzuddin: Novel Penaklukan Andalusia mungkin tidak diperlukan di setiap rumah kerana setiap orang memiliki minat membaca yang berbeza.

Namun, novel ini mungkin memiliki nilai penting untuk sesetengah orang kerana memberikan wawasan sejarah tentang penaklukan Andalusia oleh bangsa Islam pada abad pertengahan.

Bagi pencinta sejarah atau yang ingin memahami lebih mendalam tentang sejarah Islam di Sepanyol, novel ini boleh menjadi bahan bacaan yang menarik.


Pengarang :