Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Notis kekosongan DUN Kuala Kubu Bharu bakal diserah kepada Speaker

SHAH ALAM, 22 MAC: Notis pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu berikutan kematian penyandangnya akan dimaklumkan kepada Speaker dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya kini menumpukan untuk menyempurnakan proses pengebumian mendiang Lee Kee Hiong yang dijangka Isnin depan.

“Selepas ini kita kena bersedia untuk mengisi kekosongan itu, sudah pasti kena tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya ditemui selepas majlis Mahabbah Ramadan Madani di sini hari ini.

Amirudin berkata kerusi berkenaan akan diserahkan kepada DAP untuk menentukan calon sesuai berdasarkan kelaziman sebelum ini, kecuali jika pihaknya menerima arahan lain.

Beliau menambah EXCO Kerajaan Negeri Jamaliah Jamaluddin juga diarahkan untuk memantau kerusi DUN berkenaan sebulan lalu selepas mengetahui tahap kesihatan Kee Hiong.

“Sejak sebulan lepas kita mula mengatur untuk mengisi kekosongan ruangan kepimpinan peringkat Kuala Kubu Bharu. Harap Jamaliah dapat bantu atur sampai pilihan raya kecil,” katanya.

Pagi semalam, Kee Hiong, 58, yang menjadi wakil rakyat selama tiga penggal meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit barah sejak beberapa tahun lalu.

Dalam pilihan raya lalu, Kee Hiong menewaskan calon Gerakan Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.


Pengarang :