SHAH ALAM, 22 MAC: Yayasan Selangor menyalur peruntukan pendidikan berjumlah RM990,000 bagi menaja 62 pelajar kurang berkemampuan bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Agensi itu memaklumkan tajaan menerusi program BITARA Yayasan Selangor meliputi 55 pelajar di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bawah Program Budi Yayasan Selangor.
“Selain itu tujuh pelajar di Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM). Mereka terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan perkapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan.
“Penajaan meliputi yuran persekolahan, yuran penginapan dan makanan, yuran pengajian, wang saku dan peranti,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Yayasan Selangor penempatan pelajar terpilih di KYSM dan MRSM memberi peluang kepada mereka meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan persekitaran pembelajaran dan prasarana yang kondusif.
“Program BITARA yang dilaksanakan sejak 2021 dengan kerjasama KYSM dan MARA bermatlamat melahirkan pelajar global, cemerlang dan kompetitif.
“Ia bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia sekali gus menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi,” katanya.
Program BITARA Yayasan Selangor menaja pelajar kelahiran Selangor di 12 MRSM terpilih bermula tingkatan satu hingga lima manakala KYSM bermula tingkatan empat hingga lima.