Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penjawat awam perlu fokus rancangan, agenda pembangunan, capai matlamat majukan negeri

SHAH ALAM, 22 MAC: Penjawat awam perlu fokus kepada rancangan dan agenda pembangunan supaya negeri terus menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun Dato’ Menteri Besar mengingatkan supaya kelompok terbabit sentiasa peka dan cakna dengan keadaan semasa sekali gus mampu bergerak seiring dengan matlamat ditetapkan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, penjawat awam juga perlu melakukan ‘lencongan’ dalam sesetengah perkara namun harus teguh mempertahankan matlamat yang mahu dicapai.

“Kita kena fokus. Kalau kita hilang fokus, kita tak boleh capai matlamat nak jadi negeri pintar. Kita kena kerja berpasukan dan bersatu padu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selangor ada rangka, pelan yang sudah dibincang membabitkan pelbagai peringkat. Contohnya Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibincang sejak 2018, mengambil kira pelbagai polisi antaranya pengangkutan, blueprint aeroangkasa.

“Rangkum (RS-1) pelbagai dasar. Jadi tak boleh hilang tumpuan. Kalau terus fokus kita mampu kekal negeri yang sumbang ekonomi terbesar, kelestarian dan kehidupan baik. Jadi payung berteduh untuk rakyat tinggal,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di sini hari ini.

Pada Januari, ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2024, Amirudin mengarahkan penjawat awam agar pantas memberi maklum balas terhadap sebarang isu terutama yang tular di media sosial.

Beliau berkata keputusan juga perlu dibuat segera mengikut situasi memandangkan perjalanan pentadbiran negeri sering menjadi perhatian pelbagai pihak.


Pengarang :