SHAH ALAM, 24 MAC: Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Selangor meneruskan tradisi berbuka puasa bersama 50 ahlinya tahun ini di Surau At-Ittihadiyyah Seksyen 9 dekat sini.
Pengerusinya Sofiah Chong Abdullah berkata program itu bertujuan meraikan golongan mualaf selain merapatkan silaturahim.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/Macma2-500x348.jpg.webp)
“Setiap tahun kita adakan program dengan bekerjasama dengan surau atau masjid. Pada tahun ini, kita bekerjasama dengan Surau At-Ittihadiyyah, Seksyen 9 dengan menyampaikan sumbangan wang tunai.
“Selain berbuka puasa, MACMA Selangor juga mengadakan pelbagai aktiviti pemantapan dalam membantu mualaf menjalani kehidupan sebagai muslim termasuk kelas bimbingan,” katanya.
Majlis berkenaan turut meraikan 15 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/Macma3-500x351.jpg.webp)
Seorang mualaf, Effenddy Teoh Abdullah, 65, berkata beliau memeluk Islam ketika berusia awal 20-an yang mana ketika itu beliau belajar berpuasa.
“Waktu itu, saya berasa kagum dengan umat Islam kerana berpuasa seharian. Saya ambil keputusan untuk mencubanya sehingga pernah bermimpi berdiri depan Kaabah.
“Perasaan waktu itu amat sayu dan saya ambil keputusan untuk memeluk Islam.
“Alhamdulillah, ada program seperti ini dan dapat juga berjumpa saudara mualaf lain dan bertukar cerita,” kata usahawan itu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/Macma1-500x348.jpg.webp)
Bagi guru tuisyen, Nor Atifah Ching, 43, keputusan memeluk Islam beberapa tahun lalu pada awalnya pernah mendapat tentangan keluarga.
“Keluarga kini sudah mula menerima keputusan saya malah adik juga mengikut jejak langkah.
“Dengan adanya program berbuka puasa ini, saya berpeluang bertemu saudara seIslam sama ada yang baharu atau lama sekali gus merapatkan silaturahim,” katanya.