Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Konvensyen khas sempena ulang tahun ke-25 KEADILAN 28 April

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengadakan Konvensyen Khas 25 Tahun KEADILAN pada 28 April ini sempena ulang tahun parti itu, kata Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata konvensyen tersebut akan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam diikuti malam sambutan 25 Tahun KEADILAN pada 11 Mei di Sentul Depot di sini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil berucap ketika Kongres Nasional ke-16 Keadilan di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Malam Sambutan 25 Tahun KEADILAN pada 11 Mei 2024 di Sentul Depot akan diadakan sepanjang hari dengan acara kemuncaknya Ucapan Amanat Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada sebelah malam,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu dimuktamad dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) yang berlangsung semalam.

Fahmi juga berkata mesyuarat itu turut membincangkan isu nasional termasuk stoking tertera kalimah Allah.

“MPP berpendapat bahawa sebarang usaha penghinaan terhadap kesucian Islam sebagai agama rasmi negara adalah satu kesalahan besar dan bertentangan dengan perundangan negara.

“MPP mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan seumpama ini dan meminta agar pihak berwajib menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman ke atas pelakunya jika terbukti bersalah,” katanya.

Beliau berkata MPP juga meminta agar semua pihak menjaga kesucian Ramadan yang mulia dan menjadikan apa yang berlaku sebagai satu sempadan yang wajib dielak daripada berlaku di masa hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :