Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berucap pada majlis ramah mesra bersama wakil masjid dan surau di Dewan Saidina Abu Bakar, Masjid As Salam, Puchong Perdana pada 9 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tidak perlu ambil tanah sekolah, pemaju harus utama kebajikan murid

SHAH ALAM, 25 MAC: Pemaju perumahan Residensi Wilayah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diseru tidak mengambil tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara bagi pelebaran jalan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata kedua-dua pihak perlu prihatin kebajikan 700 pelajar sebelum memutuskan pengambilan itu dan mencari penyelesaian lebih baik serta bertanggungjawab.

Beliau menegaskan pihaknya turut menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tindakan susulan supaya penyerahan bahagian sekolah yang dijadual pada 1 April tidak berlaku.

“Pejabat ADN Kinrara tidak pernah bersetuju dengan keputusan tersebut. Untuk rekod, SJKT Ladang Kinrara wujud sejak 1946, sebelum persempadanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibuat pada 1974.

“Garisan sempadan ditetapkan masuk ke sebahagian kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sze Han memaklumkan DBKL meluluskan pembinaan dua blok pangsapuri membabitkan 1,600 unit rumah bersebelahan sekolah tersebut, yang dipisahkan lorong dua hala di Jalan Kinrara Mas.

Bagaimanapun, perancangan projek bermula 2020 turut mensyaratkan pemaju untuk melebarkan jalan kepada empat lorong dan mengambil alih sebahagian tanah kawasan sekolah.

“Mesyuarat pada 7 Disember 2023 di ibu pejabat DBKL membenarkan pemaju menaik taraf jalan kepada tiga lorong sahaja (asal empat). Ini tidak akan mengganggu mana-mana aset sekolah berkenaan.

“Oleh itu, kenyataan pemaju mahu penyerahan bahagian sekolah pada 1 April 2024 mengejutkan. Saya menyeru pemaju dan DBKL prihatin terhadap keperluan dan kebajikan 700 pelajar,” katanya.

 


Pengarang :