PBTSELANGOR

MBDK tawar diskaun kompaun parkir serendah RM15 sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menawarkan diskaun kompaun tempat letak kereta serendah RM15 selama sebulan bermula 1 April sempena Hari Raya Aidilfitri.

Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan menyarankan orang ramai mengambil peluang tersebut sebelum tindakan lebih tegas diambil termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Bagaimanapun, tawaran ini tidak termasuk kesalahan meletak kenderaan di petak khas, menghalang petak orang kurang upaya dan menghalang mana-mana tempat atau parkir kereta,” katanya.

Berucap sempena mesyuarat penuh MBDK hari ini, beliau memaklumkan pihak berkuasa tempatan itu juga akan mengadakan program MYSave Food Ramadan dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan.

Jelasnya, program selama lima hari mulai 27 Mac melibatkan bazar Ramadan Jalan Seri Sarawak, Taman Seri Andalas antara 4 petang hingga 9 malam bagi mengurangkan pembuangan makanan tidak terjual.

“Makanan ini akan diedarkan selepas waktu berbuka kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Jalan Sri Sarawak 19, Surau An Nur dan penghuni di Bengkel Daya,” kata Noraini.

 


Pengarang :