Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 31 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Perubahan kadar cukai tidak libat perkhidmatan keperluan asas

SHAH ALAM, 26 MAC: Perubahan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari enam ke lapan peratus bermula 1 Mac lalu tidak melibatkan keperluan asas rakyat, kata perdana menteri.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat menjelaskan kenaikan tersebut lebih tertumpu kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary).

“(Perbelanjaan) Makanan, minuman serta telekomunikasi tidak dinaikkan, kekal enam peratus.

“Perbelanjaan utiliti seperti air dan petrol juga tidak dikenakan cukai perkhidmatan atau jualan. Ini harus jelas kerana banyak kekeliruan,” katanya menjawab soalan hari ini.

Meskipun perubahan dasar cukai berkenaan memberi kesan kepada kadar inflasi, namun menurut Anwar, ia tidak ketara sekitar 0.2 peratus dengan kutipan hasil dijangka RM3 bilion.

Beliau menambah skop kenaan cukai tersebut juga kecil sekitar 41 peratus berbanding bilangan perkhidmatan terkandung dalam ekonomi dengan banyak pengecualian diberikan.

“(Pengecualian) juga termasuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan penumpang darat dan laut, pengangkutan penumpang udara Sabah dan Sarawak, sewaan rumah kediaman dan lain-lain,” katanya.

Peningkatan kadar baharu itu diumumkan dalam pembentangan belanjawan lalu, sebahagian usaha kerajaan meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit.

 


Pengarang :