SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyalurkan bantuan Aidilfitri kepada 50 penerima dengan peruntukan keseluruhan sejumlah RM12,500.
Datuk Bandarnya Ir Cheremi Tarman berkata masing-masing menerima hamper barangan keperluan raya dan wang tunai RM100.
“Penerima sumbangan terdiri dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40), warga emas, ibu tunggal, miskin bandar dan orang kurang upaya (OKU).
“Program ini bertujuan meringankan beban mereka sekali gus memberi peluang dan keceriaan golongan ini dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sumbangan Prihatin MBSA sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Dewan MBSA Kiambang, Seksyen 7 di sini hari ini.
Sementara itu, Jumariah Yakob, 60, bersyukur dengan bantuan itu yang disifatkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban membeli kelengkapan raya seperti kuih raya.
“Alhamdulillah, syukur dapat bantuan ini sekurang-kurangnya kami sekeluarga dapat jimatkan perbelanjaan membeli barangan dapur,” katanya.
Manakala, Muhammad Asyhraff Ishak, 31, yang baharu kali pertama terima bantuan daripada MBSA amat terharu dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang.
“Terima kasih MBSA, bantuan ini mungkin kecil bagi segelintir individu terapi bagi saya ia cukup besar, harap sumbangan seperti ini diteruskan lagi,” ujarnya.