Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah di lima pasar raya Segi Fresh, empat DUN esok

SHAH ALAM, 30 MAC: Warga Selangor berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lima pasar raya Segi Fresh esok.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Segi Fresh dijadual berlangsung di cawangan Sungai Udang, Pekan Salak, Kajang, Sri Gombak dan Ijok.

“Dalam semangat Ramadan yang penuh berkat nikmati penjimatan yang luar biasa untuk semua keperluan harian anda.

“Jangan lepaskan peluang ini untuk mendapatkan produk berkualiti dengan harga istimewa,” kata Segi Fresh menerusi Facebook.

Pada Julai lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

Penganjuran jualan ini juga merupakan inisiatif bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi KPDN Selangor untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri ini.

Selain enam barangan asas JER, barangan basah lain turut ditawarkan termasuk udang, bawang, kentang, sayur-sayuran, buah-buahan, santan dan barangan keperluan lain.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Esok, program JER kendalian PKPS juga akan diteruskan ke empat Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 9 pagi bertempat di Balai Raya Kampung Batu Belah (Bandar Baru Klang) dan surau Nurul Iman Subang Suria (Kota Damansara).

Lokasi lain adalah Dengkil (Dewan Orang Ramai Taman Gemilang) dan Padi Pukal Parit 7, Ban 3 (Sekinchan).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :