Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima program Jalinan Kasih 3R PJ Kita 2024 di PJ Eco Recycling Plaza pada 29 Mac 2024. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

11 keluarga terima sumbangan perabot, baucar dan kuih raya MBPJ

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyumbang perabot, baucar beli–belah bernilai RM300 dan kuih raya kepada 11 keluarga terpilih.

Datuk bandarnya berkata pemberian itu bagi meringan beban penerima menjelang Aidilfitri menerusi program Jalinan Kasih Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula) atau 3R PJ Kita tahun ini.

“Kita mengambil inisiatif ini mendapatkan perabot yang telah dibaik pulih kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di PJ Eco Recycling Plaza.

“Purata nilai harga perabot dan kelengkapan rumah yang telah dibaik pulih dianggarkan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 setiap satu,” kata Mohamad Zahri Samingon.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menjenama semula program ‘drop off’ minyak masak terpakai dengan pembelian harga RM2.50/sekilogram.

“Program ini akan diadakan sebanyak dua kali sebulan di lokasi terpilih dan warga Petaling Jaya juga boleh menghantar minyak masak terpakai di PJ Eco Recycling Plaza.

“MBPJ berharap dengan usaha dijalankan dapat mendidik masyarakat Petaling Jaya untuk menjaga alam sekitar bukan sahaja melalui cara pembuangan sampah malah pengasingan jenis sisa dapat terus menyelamatkan bumi kita,” katanya.


Pengarang :