AGENDAJENAYAH

Polis tahan empat lelaki, rampas dadah bernilai RM10.3 juta

SHAH ALAM, 30 MAC: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Klang dengan penahanan empat lelaki dan merampas 312.7 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM10.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di sini, Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan pada 7.30 malam itu, polis turut menyita pelbagai aset milik sindiket bernilai lebih RM2 juta terdiri daripada empat kenderaan mewah, wang tunai, dan barang kemas.

Beliau berkata kesemua yang berusia 23 hingga 40 tahun itu dipercayai bertindak selaku ‘transporter’ dan ‘koordinator’ kepada sindiket berkenaan yang dikesan aktif sejak Oktober tahun lepas.

“Siasatan mendapati mereka menerima upah antara RM15,000 hingga RM30,000 untuk membawa masuk bekalan dadah dan mengedarkannya di Lembah Klang serta menyeludup ke luar negara.

“Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di utara Malaysia sebelum mereka membawanya ke Lembah Klang menggunakan kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti dalang di sebalik sindiket dadah berkenaan dan setakat ini tiada petunjuk yang boleh mengaitkan sindiket itu dengan jenayah kongsi gelap.

Menurut Khaw kesemua lelaki terbabit yang didapati negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :