Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa penuntut University of Canterbury maut dalam kemalangan di Tasik Tekapo, New Zealand pada 30 Mac 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM ucap takziah kepada keluarga dua pelajar maut di New Zealand

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar turut mendoakan agar tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dalam insiden itu dikurniakan kesembuhan secepat mungkin.

“Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Tinggi di New Zealand akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga,” kata beliau.

Terdahulu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar maut dalam insiden itu pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ketika dihubungi Bernama mengesahkan pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Mangsa yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut Universiti of Canterbury, manakala Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

– BERNAMA


Pengarang :