SHAH ALAM, 2 APRIL: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri selama lima hari bermula esok, kata pengurus besarnya.
Mohammad Syukri Ismail berkata jualan khas sempena Aidilfitri itu akan membawa barangan keperluan harian pada harga murah seperti ayam, minyak, beras, telur dan daging segar.
“Bagi setiap barangan, kita bawa sebanyak 500 set di semua lokasi jualan bagi membolehkan penduduk setempat khususnya keluarga berpendapatan rendah terima manfaat.
“Selain lima barangan keperluan ini, Kohijrah turut membawa sayur-sayur segar dan kelengkapan Aidilfitri seperti biskut raya,” katanya dihubungi Selangorkini.
Katanya, menerusi jualan ini, ayam dan telur satu papan dijual pada harga RM10, manakala beras RM13, minyak masak 5 kilogram RM25 dan daging segar RM35.
Berikut adalah lokasi dan waktu jualan:
3 April (4-7 petang)
Pasar Sijangkang Batu 1
4 April (4 petang-9 malam)
Laman Niaga Kohijrah Seksyen 15 Shah Alam
5 April (4-7 petang)
Tapak Pasar Ramadan Banting 1
6 April (10 pagi-1 petang)
Rumah Selangorku Alam Budiman
7 April (10 pagi-1 petang)
Wisma Kohijrah Berjaya Park Seksyen 32 Shah Alam