Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menandatangani plak perasmian diperhatikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) pada Majlis perasmian masjid, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Bandar Saujana Putra, Jenjarom pada 2 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan rasmi Masjid Bandar Saujana Putra, agih sumbangan kepada 429 asnaf

KUALA LANGAT, 2 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Bandar Saujana Putra di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan menamakan Masjid Bandar Saujana Putra dan melafazkan titah perasmian sebelum menandatangani plak perasmian bagi menyempurnakan majlis itu.

Masjid itu dibina di kawasan seluas 3 ekar melibatkan kos RM10.9 juta serta mampu menampung sehingga 3,000 jemaah ditaja sepenuhnya oleh MAHSA Universiti.

Pada majlis itu, Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM214,500 kepada 103 asnaf fakir, 196 asnaf miskin dan 130 orang saudara baharu sekitar daerah itu.

Baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3.97 juta dari Bank Islam Malaysia Berhad (RM1.19 juta), MAHSA Universiti (RM1.32 juta) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (RM1.46 juta).

Sementara itu, Pengerusi Pembinaan Masjid Saujana Putra Tan Sri Dr Mohammed Haniffa Abdullah dalam ucapan berkata pembinaan memenuhi keperluan penduduk Islam di sekitar daerah berkenaan.

“Pelbagai kemudahan dan fasiliti masjid disediakan seperti dewan solat, bilik mesyuarat, pejabat pengurusan, bilik kuliah, bilik jurunikah dan urusan zakat dan bilik pengurusan jenazah,” katanya.

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri dan Raja Muda turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah di masjid berkenaan bersama rakyat sebelum berangkat pulang.


Pengarang :